Sunday, February 1, 2009

kisah dinar emas...(, ")


Suatu ketika dahulu, ada seorang lelaki yang membawa kapak untuk menebang sebatang pokok yang disembah oleh penduduk. Lelaki itu berniat untuk menebang pokok itu lantaran marah kerana Allah. Lalu datang Iblis menyerupai seorang lelaki tua dan cuba menegahnya. “Jangan halang aku. Aku mahu menebang pokok ini kerana ramai yang menyembahnya,” kata lelaki itu. Iblis berkata, “Engkau sendiri tidak menyembahnya, apa perlu engkau peduli pada orang lain yang menyembahnya?” “Aku tetap akan menebangnya,” balas si lelaki. Lantas Iblis memujuk, “Mahu tak engkau pertimbangkan hasrat kau tu sekiranya aku mencadangkan sesuatu yang lebih baik?” “Apa?” soal lelaki itu. Goda Iblis “Jangan ditebang pokok ini dan aku akan beri dua dinar emas setiap hari.” Lelaki itu bertanya “Bagaimana aku dapat pastikan aku akan menerima dua dinar emas setiap hari?” Balas si Iblis yang menyamar sebagai orang tua, “Aku jamin engkau akan menerima dua dinar emas di bawah bantalmu pada setiap pagi.” Dengan itu, maka terpedayalah si lelaki itu. Dia pun tidak menebang pokok sembahan tadi dan pulang ke rumahnya. Keesokan pagi, dia mendapati di bawah bantalnya ada dua keping dinar emas.

Pada pagi kedua, tidak pula kelihatan dinar emas tersebut. Dengan perasaan marah,lelaki itu mengambil kapaknya untuk meneruskan niat menebang pokok sembahan. Kemudian, datang Iblis menegurnya, “Kenapa engkau datang kembali?” Bentak lelaki itu, “Aku nak tebang pokok sembahan itu, orang ramai menyembah selain Allah.” “Engkau bohong!” tingkah Iblis. “Niat engkau sudahpun berubah. Tidak ada jalan bagimu untuk menebang pokok itu.” Lelaki itu mengendahkan kata-kata Iblis lalu cuba merapati pokok tersebut. Tidak semena-mena tanah di sekitar menelannya hingga dia hampir tercekik. Iblis pun berkata, “Engkau tahu siapa aku? Akulah Iblis! Engkau datang pada mulanya memang tulus marah kerana Allah, oleh itu aku tidak dapat menghalangmu. Dan engkau dapat ditipu dengan dua dinar emas hingga membatalkan niat tulus menebang pokok yang disembah orang ramai. Kemudian engkau datang untuk menebang pokok itu kerana marah tidak dapat dua dinar emas, maka bumi dapat menelanmu!”

No comments:

Post a Comment